'Nelayan sungai', 'pencari ketam' cekup penyeludup rokok - Utusan Malaysia

‘Nelayan sungai’, ‘pencari ketam’ cekup penyeludup rokok

MUHD. Nur Syam Asmawie Yaacob (kanan) menunjukkan MPV sarat dengan muatan rokok di pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. Foto TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Anggota dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menyamar sebagai nelayan sungai dan sebahagian menyelinap ke dalam paya bakau sebagai pencari ketam dalam usaha menjayakan misi Op Khas mencekup penyeludup rokok putih di negeri ini. 

Penyamaran yang dijalankan dalam tempoh beberapa hari membuahkan hasil apabila cubaan menyeludup  rokok putih yang menggunakan jalan laut dan darat di perairan Pantai Senok, dekat Bachok berjaya dipatahkan pada pukul 11.10 malam kelmarin. 

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kaedah penyamaran diputuskan selepas risikan selama enam bulan mendapati terdapat sindiket penyeludupan menggunakan jalan laut sekitar Pantai Senok dan Pengkalan Datu sebagai lokasi transit rokok tanpa cukai untuk diedarkan ke seluruh negara.

Menurutnya, Op Khas yang dijalankan berjaya mengesan sebuah bot pancung yang menggunakan enjin 300 kuasa kuda  dalam keadaan yang mencurigakan pada jarak 1.8 kilometer dari kuala Pantai Senok.

“Bot berkenaan berjaya diekori sehingga merapat di tebing sungai Pengkalan Datu ,  manakala  pemandu dan kelindannya yang menyedari diekori pihak berkuasa bertindak meninggalkan bot yang sarat dengan kotak besar berisi rokok ke dalam hutan paya bakau yang berhampiran.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan tebing sungai itu turut menadapti  enam  kenderaan pelbagai guna (MPV) tanpa pemandu disyaki digunakan untuk mengangkut rokok ke pelbagai lokasi, ” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, di sini , hari ini.

Muhd. Nur Syam Asmawie berkata, bot dan enam kenderaan MPV didapati membawa dua jenis rokok dengan paket bewarna hijau sebanyak 1,010 juta batang  manakala  paket berwarna hitam berjumlah 834, 240 batang melibatkan jumlah keseluruhan rokok sebanyak lebih 1.8 juta batang rokok.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati rokok ini akan dipasarkan ke kawasan perladangan dan tanah rancangan di Gua Musang,  Kuala Krai dan sebahagian gugusan Felda di negeri Pahang.

Tambahnya, rokok berjenama Luffman itu bernilai RM1.6 juta termasuk cukai dan usaha mengesan pemilik MPV juga boleh dijalankan dengan kerjasama  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Nilai bot dan enam kenderaan MPV pula dianggarkan berjumlah RM758,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan ialah RM2.4 juta. Kesemua barang rampasan dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Kelantan untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan awal juga mendapati sebahagian pekerja atau pemandu kenderaan yang dirampas itu disyaki penagih dadah berikutan penemuan satu paket kecil kristal yang disyaki syabu serta peralatan menghisap iaitu ‘dapur kaca’ buatan sendiri bersama gunting kecil dan dua mancis yang diubah suai dengan api tajam.

Katanya, bulan puasa atau musim perayaan tidak pernah menghalang pasukan Maritim Malaysia melaksanakan tugas memastikan segala kegiatan jenayah berjaya dibendung.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam dan Eksais Diraja 1967 dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kita akan melakasakan Op Khas secara berterusan dalam usaha mengekang pelbagai kegiatan yang menyalahi undang-undang negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya