NEGERI SEMBILAN: Peniaga tiada pilihan, terpaksa naikkan harga ayam - Utusan Malaysia

NEGERI SEMBILAN: Peniaga tiada pilihan, terpaksa naikkan harga ayam

HARGA ayam dijangka mengalami kenaikan bulan hadapan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Harga ayam proses mula mengalami kenaikan harga mendadak mencecah RM10 sekilogram sejak awal Ramadan selepas pihak pembekal dan peladang ayam mengenakan harga yang agak tinggi.

Seorang peniaga ayam di Pasar Besar Seremban yang mahu dikenali sebagai Muhammad, 24, berkata, peniaga tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga walaupun memahami ekonomi kebanyakan masyarakat sekarang tidak stabil ekoran pandemik Covid-19.

“Memang tidak dinafikan, harga ayam agak tinggi sekarang RM10 sekilogram iaitu melambung naik sejak dua minggu lalu berbanding sekitar RM8.50 sebelum ini.

“Sebolehnya saya tidak mahu menaikkan harga, tetapi peniaga hanya memperoleh keuntungan kecil berikutan harga yang dikenakan oleh pembekal terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhammad, jualan ayam juga sedikit menurun sejak kebelakangan ini malah peniaga juga sering menerima rungutan daripada pembeli yang memberitahu harga ayam naik mendadak ketika ini.

Sementara itu, seorang peniaga daging, Ahmad Saufi Zulkifli, 33, berkata, harga daging tempatan juga mengalami kenaikan harga mencecah RM38 sekilogram disebabkan fator sama iaitu peladang dan pembekal mengenakan harga tinggi.

“Harga daging (tempatan) memang tinggi sekarang dan kami sebagai peniaga tersepit dan terpaksa menjual pada harga tinggi kerana harga yang diberikan pembekal juga tinggi.

“Bagi daging batang pinang pula mencecah harga RM40 sekilogram, macam saya sendiri memang sepenuhnya mengambil bekalan daging daripada peladang dan perlu ikut harga ditetapkan,” katanya.

Bagi seorang pembeli, Fazidah Sheikh Ali, 60, harga ayam memang naik sedikit berbanding sebelum ini tetapi kualiti ayam yang ditawarkan di pasar ini segar.

“Walaupun harga ayam naik, saya tetap membeli di pasar kerana kualiti ayam segar dan bersih, ketika Ramadan memang biasanya harga ayam naik sedikit,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya