'Nak kerjasama baguslah, dulu tak hadir mesyuarat' - Utusan Malaysia

‘Nak kerjasama baguslah, dulu tak hadir mesyuarat’

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: “Baguslah, sebab dulu dia (Azlan) tidak pernah hadir mesyuarat semasa saya memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.”

Itu reaksi ringkas Datuk Seri Shahidan Kassim ketika diminta mengulas kesediaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri baharu, Datuk Seri Azlan Man bekerjasama dengan Ahli Parlimen Arau itu demi kepentingan dan kestabilan politik di negeri ini.

“Baguslah, sebab dulu dia tidak pernah hadir mesyuarat. Kalau hendak kerjasama itu satu benda yang sangat positif, baguslah. Dulu masa saya jadi pengerusi tidak pernah hadir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Isnin lalu, Azlan yang juga Menteri Besar ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dengan kepemimpinan UMNO cawangan Kangar di sini menyatakan kesediaan beliau bekerjasama dengan Shahidan.

Azlan dilaporkan berkata, beliau menghormati Shahidan sebagai seorang pemimpin yang lebih lama daripada beliau dalam mengetuai UMNO dan kerajaan negeri ini.

“Saya mengambil pendekatan dan sikap terbuka malah tidak ada masalah untuk bekerjasama. Malah, selama ini juga saya tidak pernah mengkritik sesiapa pun ataupun membalas kritikan-kritikan pedas kepada saya. Mana-mana kritikan saya ambil secara positif,” kata Azlan.

Sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan mengumumkan penyingkiran Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan digantikan dengan Azlan.

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula menegaskan bahawa UMNO Bahagian Padang Besar dan Arau menolak keras pelantikan Azlan selain menyifatkan Menteri Besar itu tidak layak sama sekali mengetuai UMNO Perlis.

Pertukaran Shahidan yang cukup sinonim dengan UMNO Perlis itu berkemungkinan disebabkan pendirian beliau yang lantang untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain berterusan mendesak Ahmad Zahid memberi penjelasan berhubung isu audio perbualan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu Shahidan berkata, beliau kini memberi fokus kepada UMNO Bahagian Arau dalam mengekalkan kecemerlangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Paling penting Arau menang dengan cemerlang dalam PRU-15. Tugas bahagian memilih calon-calon yang terbaik yang boleh menang pilihan raya. Dalam pilihan raya lalu, Arau dan Padang Besar menang besar.

“Dua-dua Parlimen itu menang pilihan raya. Sewajarnya juga Zahidi (Ketua UMNO Bahagian Padang Besar) diberi peluang mengetuai UMNO Perlis. Kalau bagi orang kalah ketuai pada orang menang, saya tidak pastilah dan apa yang penting kita harap kita menang,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan menegaskan kesetiaan beliau terhadap UMNO tidak pernah berbelah bahagi jauh sekali untuk meninggalkan parti tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya