NAFAS diminta percepatkan edar benih padi sah - Utusan Malaysia

NAFAS diminta percepatkan edar benih padi sah

AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diminta mempercepatkan pengedaran benih padi sah di kawasan Muda supaya pesawah dapat memulakan aktiviti penanaman padi Musim 1/2021 dengan lancar mengikut jadual ditetapkan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pihaknya mengadakan perbincangan bersama NAFAS dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi membantu melancarkan proses pengedaran benih padi mengikut keperluan dan tempoh masa yang sesuai sejak Februari lalu.

Menurutnya, jumlah keseluruhan keperluan Benih Padi Sah di Kawasan Muda bagi Musim 1/2021 adalah sebanyak 675,906 beg  melibatkan kawasan tanaman padi seluas 96,558 hektar (ha).

“Sehingga 22 April 2021, sebanyak 24 peratus daripada pesanan benih padi sah tersebut telah diterima oleh 27 PPK MADA.

“Bakinya akan dibekalkan oleh NAFAS secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada 20 April lalu melaporkan mengenai keresahan golongan pesawah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kelewatan NAFAS selaku pengedar tunggal, mengedarkan benih padi sah.

Pesawah terbabit juga menolak cadangan NAFAS untuk menggantikan penggunaan benih padi varieti MR297 dengan MR219 bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam masa sama, Ahmad Tarmizi memberitahu, MADA kini mengadakan kempen penggunaan benih padi sah sebagai langkah menguar-uarkan kepentingan penggunaan benih padi berkualiti.

“Bagi tujuan itu, pegawai MADA di lapangan akan mengadakan kempen secara berterusan termasuk pengesyoran penggunaan varieti padi tempatan, selain varieti MR297 yang turut mampu memberikan prestasi dan hasil yang baik” katanya.

Beliau menambah, pesawah juga disarankan supaya mengamalkan amalan pertanian baik dan merujuk kepada senarai semak ‘Rice Check’ yang dikeluarkan oleh pihak MADA, Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)

“Langkah itu penting bagi memastikan setiap benih padi dapat dioptimumkan potensinya” katanya.

Selain itu, menurutnya, pesawah juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan benih padi tidak sah yang diperoleh dari sumber lain untuk mengelakkan risiko serangan penyakit dan padi angin.

“Walaupun harganya ditawarkan murah, namun penggunaan benih padi itu boleh mengakibatkan pesawah mengalami kerugian,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya