MySTEP tepati sasaran pelaksanaan - Utusan Malaysia

MySTEP tepati sasaran pelaksanaan

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 24,919 pekerja mendapat pekerjaan melalui program jangka pendek (MySTEP) dengan 23,477 individu ditempatkan di sektor awam manakala 1,442 lagi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakan strategiknya.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu bermakna kerajaan mencapai 49.8 peratus sasaran keseluruhan bagi program itu yang menyasarkan 50,000 peluang pekerjaan jangka pendek bagi tahun ini.

“Sejak program MySTEP mula dilaksanakan pada bulan Januari 2021, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan.

“Di bawah program tersebut, pemohon ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pemohon untuk GLC pula telah ditempatkan dalam organisasi seperti Petronas, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Khazanah Nasional,” kata kenyataan itu, semalam.

Kenyataan itu merujuk laporan Utusan Malaysia bertajuk ‘Mengapa Program MyStep tidak dilaksana? yang diterbitkan semalam.

Program itu membolehkan golongan menganggur mendapat pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan GLC.

Jelas kenyataan itu, MySTEP adalah inisiatif kerajaan bernilai RM700 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 yang membolehkan para pemohon mendapat pekerjaan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta GLC secara kontrak.

Ujar kementerian sama, program itu menyediakan 35,000 peluang pekerjaan di sektor awam manakala 15,000 pekerjaan di GLC serta rakan-rakan strategik mereka.

“Kerajaan sentiasa berusaha dan komited menghidupkan semula ekonomi negara dalam keadaan norma baharu selepas pandemik dengan memperkasakan rakyat menerusi peluang pekerjaan baru yang diwujudkan.

“Inisiatif seperti PenjanaKerjaya 2.0, Program Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula dan MyStep merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih menyeluruh di seluruh negara untuk menjana 500,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Kemajuan inisiatif seperti ini sentiasa dilaporkan kepada Majlis Pekerjaan Negara dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pencapaian program ini dipantau oleh Laksana iaitu agensi penyelaras ditubuhkan pada Mac 2020 bertujuan memantau usaha berkaitan Covid-19 serta langkah kerajaan lain dalam membantu rakyat serta merangsang ekonomi,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya