MySmart Wilayah 2030 bandar pintar berkelas dunia - Utusan Malaysia

MySmart Wilayah 2030 bandar pintar berkelas dunia

ANNUAR Musa melawat ruang pameran pada majlis pelancaran MySmart Wilayah 2030 di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerangka dasar Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) akan merintis jalan ke arah perancangan dan pembangunan sebuah bandar pintar berkelas dunia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerangka dasar yang berpandukan teknologi digital itu penting bagi meletakkan Wilayah Persekutuan sebagai Bandar Berkelas Dunia menjelang 2030.

Beliau berkata, kerangka itu juga akan meletakkan semua agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) pada hala tuju yang sama selaras konsep MySmart Wilayah.

“Kami melihat semua kerangka pelan pembangunan nasional yang dilancarkan di peringkat kerajaan turut menekankan aspek penggunaan dan perkembangan teknologi maklumat serta digitalisasi.

“Justeru, KWP mahu menjadi contoh yang paling ke hadapan dalam perkara ini. Oleh itu, KWP menjadi antara yang terawal melancarkan kerangka dasar ini. Kementerian berharap dalam 10 tahun mendatang, setiap agensi di bawah KWP mempunyai hala tuju yang jelas seperti digariskan dalam kerangka dasar tersebut,” katanya pada majlis pelancarannya, di sini hari ini.

Annuar berkata, kerangka dasar MySmart Wilayah 2030 menggariskan 25 dasar, 76 tindakan, 118 indikator dan 25 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) membabitkan semua agensi di bawah kementerian.

Beliau berkata, dasar-dasar yang digariskan itu merangkumi tujuh komponen iaitu kerajaan pintar, ekonomi pintar, kehidupan pintar, persekitaran pintar, masyarakat pintar, mobiliti pintar dan infrastruktur pintar.

“Dasar-dasar yang digariskan ini juga perlu diselaraskan sesuai dengan perubahan teknologi yang bergerak pantas dan ia perlu disemak seberapa kerap yang boleh,” katanya.

Katanya lagi, MySmart Wilayah 2030 juga diperkenalkan bagi menangani peningkatan kadar pertumbuhan penduduk di ibu negara yang bakal mencecah 2.25 juta menjelang tahun 2040.

Pada masa sama, beliau berkata, MySmart Wilayah 2030 turut memberikan fokus untuk meningkatkan kualiti hidup menerusi penggunaan teknologi dan pelaksanaan inisiatif pintar sekali gus menterjemahkan hasrat Wilayah Prihatin yang mengandungi 13 cakna utama yang memayungi dasar, program dan perkhidmatan yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya