KUALA SELANGOR: Polis membuka kertas siasatan berhubung lukisan mural tiga wanita yang tidak berbaju di Balai Seni Sasaran Kuala Selangor di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, sehingga semalam, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung lukisan mural di balai seni tersebut.
“Kita difahamkan, lukisan mural ini masih dalam proses dan belum selesai. Namun, kita akan memanggil mana-mana individu termasuk pelukis dan penganjur untuk mengambil keterangan.
“Kita sudah mengenal pasti individu terbabit. Selepas kenyataan diambil, jika ada kesalahan kita akan merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu, tular satu video memaparkan lukisan tiga wanita tanpa baju yang dilukis di dinding balai seni tersebut.
Lukisan untuk satu pameran antarabangsa yang dijangka dirasmikan Sabtu ini menerima kecaman daripada masyarakat terutama penduduk setempat.
Namun, tinjauan mendapati lukisan tiga wanita itu telah ‘dipakaikan’ baju berwarna putih.
Sementara itu, pelukis mural itu yang dikenali sebagai Sliz berkata, pihaknya langsung tiada niat untuk melukis potret wanita tanpa baju untuk ditayangkan kepada masyarakat.
Jelasnya, dia bersama dua lagi rakannya dikenali Lyana Leong dan Bibichun tiba dari Pulau Pinang untuk melukis mural di balai seni itu pada 13 April lalu.
“Sebenarnya, mural ini masih lagi dalam proses dan belum siap sepenuhnya. Pada petang semalam, saya membuka kanvas untuk melihat lukisan ini dari jauh tetapi orang awam yang melihatnya terus mengambil gambar.
“Oleh kerana perkara ini telah menjadi isu, saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk mengecat lukisan itu berwarna putih, malah lakaran awal juga mural ini juga berbaju.
“Mungkin orang banyak mempersoalkan kenapa perlu melukis tiga wanita tanpa baju, tetapi seni adalah sesuatu yang sukar diterangkan dan proses serta teknik sesebuah lukisan berbeza dalam penghasilannya,” katanya. – UTUSAN