Muhyiddin sangkal kerajaan tak bersungguh lawan Covid-19 - Utusan Malaysia

Muhyiddin sangkal kerajaan tak bersungguh lawan Covid-19

MUHYIDDIN Yassin (dua kiri) menerima sumbangan daripada Yayasan Albukhary sempena Ramadan Parlimen Pagoh di Masjid Jamek Haji Muhammad Yassin, Pagoh di Johor. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Dakwaan sesetengah pihak termasuk segelintir masyarakat kononnya kerajaan tidak bersungguh-sungguh mengawal dan memerangi pandemik Covid-19 di negara ini adalah tidak benar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sebaliknya serius termasuk bermesyuarat pada setiap hari bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai kes-kes Covid-19 di seluruh negara.

Beliau berkata, pelbagai usaha dijalankan kerajaan termasuk meneliti data dan perkara-perkara berkaitan Covid-19 serta melihat tindakan atau keperluan yang perlu dilakukan.

“Saya cakap macam ini bukan apa kerana (ada) tanggapan segelintir masyarakat kita bahawa kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk tangani masalah ini, masalah ini masih menular lagi.

“Saya nak katakan bahawa kita kerajaan Perikatan Nasional (PN) berusaha bersungguh-sungguh dan kalau dibandingkan peratusan kes di negara kita dengan yang lain, negara kita jauh lebih rendah dan kecil berbanding negara maju,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil serta Penyampaian Sumbangan Sempena Ramadan di Masjid Jamek Haji Muhammad Yassin, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, sekiranya kerajaan tidak bersungguh mengawal penularan itu, ia bukan sahaja memberi musibah kepada kesihatan rakyat bahkan ekonomi negara turut akan terkesan.

“Ekonomi negara kita sudah pun terkesan dengan kerugian berbilion-bilion ringgit. Sebab itu, apa sahaja situasi dan keadaan, selagi masalah Covid-19 tidak dapat kita atasi, kita akan teruskan usaha,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan tidak dipersalahkan sekiranya berlaku kelewatan dalam pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ekoran perkara itu di luar kawalan.

Kata beliau, kelewatan penerimaan vaksin berlaku disebabkan bekalan yang tiba tidak mengikut jadual sebaliknya mengikut jenama selain tiada syarikat yang sanggup membekalkan keseluruhan 66 juta dos untuk lebih 30 juta rakyat Malaysia.

“Ini menunjukkan kesungguhan PN tak boleh diperkecilkan, sebab itu pada hari ini kita akan terus berjuang menentang Covid-19 sehingga satu tempoh tidak terlalu lama agar negara kita kembali seperti sedia kala,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya