JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan isu pembukaan sempadan pada 3 Mei ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, beliau berharap pertemuan itu dapat menyakinkan negara jiran supaya agenda pembukaan sempadan dapat dilaksanakan biarpun tidak menunjukkan tanda positif ke arah itu.
Bagaimanapun, Hasni tetap optimis sempadan yang menghubungkan dengan negara republik itu dapat dibuka menjelang Jun ini, biarpun kes positif Covid-19 di negara ini melebihi angka 2,000 setiap hari.
“Kita sedang berusaha menyakinkan kerajaan Singapura untuk membuka semula sempadan dan membenarkan pekerja kita berulang-alik setiap hari, seperti dahulu.
“Untuk kerajaan negeri, kita sudah bersedia dari segi prosedur operasi standard (SOP), pelan vaksinasi termasuk menyediakan platform IMMU Plan bagi pendaftaran pekerja yang bekerja ulang-alik ke seberang tambak,” katanya selepas melancarkan program Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (Mekar) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi Ismail.
Mengulas lanjut, Hasni berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersetuju memperuntukkan sebanyak 100,000 dos suntikan sebagai permulaan kepada pekerja tempatan yang akan berulang-alik ke Singapura.
Katanya, sekiranya sempadan tidak dapat dibuka, ekonomi negeri ini bakal terus terjejas dengan lebih banyak perniagaan akan gulung tikar.
“Walaupun kes positif Covid-19 terus meningkat sejak akhir-akhir ini, saya akan teruskan agenda pembukaan sempadan. Kita akan persembahkan kepada kerajaan Persekutuan SOP bagi proses itu dapat meyakinkan kepada negara jiran.
“Antara yang kita usulkan ialah kawalan pergerakan. Walaupun orang kita boleh masuk ke Singapura, itu tidak bermakna mereka bebas ke mana sahaja, tetapi, terhad kepada pergerakan ke tempat kerja sahaja.
“Jika pemandu lori kita boleh masuk ke Singapura setiap hari tanpa masalah, jadi, kenapa perlu dibeza-bezakan dengan pekerja bidang lain kerana mereka juga melintasi dari Tambak Johor ke negara republik itu,” katanya.
Tambahnya, isu pembukaan sempadan ini tidak hanya melibatkan antara Malaysia dan Singapura semata-mata, namun, melihat kepada perjalanan menghubungkan negara-negara yang lain. -UTUSAN ONLINE