PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri bermula hari ini hingga 18 April ini berkaitan haji dan umrah.
MOTAC dalam kenyataan berkata, selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah, lawatan kerja itu penting bagi melihat aspek prosedur operasi standard (SOP) bagi kedua-dua negara.
Katanya, selain itu, ia bagi melihat hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah dan cadangan kelonggaran untuk dipertimbangkan Kerajaan Arab Saudi kepada para penggiat industri umrah Malaysia yang terkesan disebabkan wabak Covid-19.
“Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan dasar-dasar baharu dan mengenakan SOP yang ketat selaras dengan pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara tersebut.
“Ia termasuk membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 November tahun lalu,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, MOTAC berkata, pihaknya juga sedang memperhalusi SOP bagi tujuan membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negara melalui perkhidmatan syarikat pengendali pelancongan berlesen termasuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah.
Katanya, draf SOP itu telah melalui beberapa siri perbincangan bersama para penggiat industri dan dibentangkan kepada pelbagai Kementerian peneraju dan agensi kerajaan untuk ditambah baik.
“Hasil lawatan kerja ke Arab Saudi ini diharap akan memperkemas cadangan kementerian ini kepada pihak kerajaan berhubung membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negara termasuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah dengan menggunakan perkhidmatan syarikat pengendali pelancongan berlesen.
“Sehingga ketetapan baharu oleh kerajaan dibuat, pihak kementerian mendokong dasar-dasar semasa dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ordinan Darurat bertujuan memerangi wabak Covid-19 termasuk larangan perjalanan keluar negeri bagi tujuan tidak penting seperti aktiviti pelancongan termasuk pelaksanaan aktiviti umrah,” katanya.
Pada masa sama, MOTAC berkata, ketetapan dasar semasa kerajaan dan langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan Arab Saudi dalam memerangi wabak Covid-19 akan sentiasa dihormati dan dipatuhi.
Katanya, kementerian melalui penguatkuasaan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) ingin menegaskan bahawa sebarang aktiviti melibatkan umrah seperti aktiviti promosi, pengiklanan dan pengambilan bayaran bagi tujuan mengatur perjalanan mengerjakan ibadah umrah dan ziarah pada waktu ini adalah dilarang kerana mengelirukan pelbagai pihak.
“Semua pihak khususnya syarikat pengendali umrah diseru agar berbincang dan memenuhi segala obligasi serta komitmen yang dipersetujui khususnya kepada para jemaah yang terkesan akibat penangguhan pelaksanaan ibadah umrah yang telah dijadualkan,” katanya.
MOTAC berkata, pihaknya akan mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada yang dikawal selia Kementerian ini.
Katanya, pihak Kementerian juga ingin terus menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran pakej umrah yang meragukan oleh mana-mana pihak khususnya pada masa ini sehingga pihak kerajaan mengumumkan kebenaran rakyat Malaysia mengerjakan umrah. – UTUSAN ONLINE