MOTAC salur lebih RM2.2 juta kepada 217 NGO - Utusan Malaysia

MOTAC salur lebih RM2.2 juta kepada 217 NGO

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jawatankuasa Panel Penilai Kebudayaan (JPPK) meluluskan peruntukan lebih RM2.2 juta kepada 217 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tahun lalu bagi tujuan penyemarakan industri seni, budaya dan warisan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1,630,500 adalah untuk 30 permohonan bagi bantuan kegiatan persatuan manakala sebanyak RM582,500 adalah bantuan pentadbiran kepada 187 persatuan aktif, namun, terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Penggiat industri kebudayaan dan kesenian mengalami kerugian sebanyak RM85 juta dalam tempoh setahun akibat penularan Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau hadir sesi libat urus bersama Badan Bukan Kerajaan (BBK) dan Penggiat Industri Sektor Kebudayaan yang dikendalikan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Krisis yang turut disertai oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Noor Zari Hamat.

Nancy berkata, dalam sesi libat urus itu, wakil daripada sektor teater mencadangkan agar diwujudkan dana tetap pengurusan persatuan untuk membayar kos sewaan pejabat, utiliti dan saguhati pengurusan.

Beliau berkata, meskipun kementerian tiada peruntukan khas bagi tujuan itu, namun, sebanyak 187 persatuan seni, budaya dan warisan dibantu pada tahun lalu melibatkan peruntukan berjumlah RM582,500.

Sementara itu, Nancy berkata, pihaknya juga akan meneliti dan memajukan cadangan wakil daripada industri muzik kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) agar suntikan dana dapat dibuat kementeriannya bersama KKMM untuk membolehkan persembahan muzik di premis-premis hotel diaktifkan semula.

“Wakil tersebut menyatakan bahawa terdapat kekangan daripada pihak hotel yang tidak mampu membayar gaji pemuzik berikutan kemelesetan ekonomi dan industri perhotelan pada masa ini, jadi perkara ini akan diteliti dan dimajukan juga kepada KKMM,” katanya.

Tambah Nancy, wakil daripada sektor seni persembahan pula menyatakan cabaran kewangan bagi kelangsungan penjanaan pendapatan dan memohon untuk mendapatkan lebih penonton fizikal iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus kapasiti.

Beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan bergantung kepada status Covid-19 dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti persembahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN