MKT diminta pertimbang tarik balik keputusan gantung keahlian Tun Faisal - Utusan Malaysia

MKT diminta pertimbang tarik balik keputusan gantung keahlian Tun Faisal

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diminta mempertimbangkan untuk menarik balik keputusan Lembaga Disiplin yang menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama enam tahun terhadap Datuk Tun Faisal Ismail Aziz kerana ia jelas tidak bersandarkan merit dan fakta kes.

Perkara itu dinyatakan Tun Faisal dalam satu salinan surat rayuan kepada Presiden, Timbalan Presiden dan ahli-ahli MKT semalam yang telah pun dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, 1 April lalu.

Dalam salinan surat rayuan berkenaan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya itu meminta membatalkan hukuman penggantungan itu yang jelas amat zalim dan tidak masuk akal sebagaimana diputuskan .

“Besarlah harapan saya jika Ahli-ahli MKT dapat mempertimbangkan untuk mengembalikan semula hak-hak keahlian saya.

“Ini termasuk jawatan saya sebagai Ketua UMNO Cawangan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang saya menangi melalui proses demokrasi sihat dan dalam pertandingan adil tanpa menyalahi tata etika parti termasuk politik wang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tun Faisal berkata, salinan surat rayuan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu sebagai inisiatif agar mereka diberi peluang untuk membaca semua hujah-hujah pembelaan berkaitan dakwaan yang dikatakan memfitnah dan mengkritik Presiden secara terbuka.

Beliau percaya, ahli-ahli MKT telah diberi gambaran yang salah mengenai kes berkenaan dan tidak diberikan maklumat secukupnya sebelum mengesahkan keputusan Lembaga Disiplin yang dilihat amat zalim dan tidak adil.

“Saya dimaklumkan salah seorang ahli MKT juga telah mengelirukan mesyuarat dengan mendakwa bahawa ini adalah konflik dalaman UMNO Bahagian Putrajaya dan dengan itu ramai yang telah mengambil pendirian untuk tidak mahu masuk campur.

“Bagi yang telah memberikan respon, saya juga tanyakan kepada mereka bukankah sepatutnya semasa hendak membuat keputusan mengenai diri saya, pihak yang membuat aduan, iaitu Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor perlu keluar dari mesyuarat MKT kerana dia adalah pihak yang berkepentingan?” soalnya.

Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, digantung keahlian UMNO selama enam tahun, malah semua manfaat sebagai ahli UMNO juga dilucutkan secara sementara sepanjang tempoh itu.

Pada 19 Februari lalu beliau diminta mengemukakan surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO, susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu itu bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya.

Tun Faisal sebelum itu mendakwa Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti kerana mengerakkan jajaran politik baharu bersama PKR dan DAP walaupun ia bertentangan dengan dasar parti. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya