MKN perlu kaji semula kelonggaran diberikan kepada orang ramai - Utusan Malaysia

MKN perlu kaji semula kelonggaran diberikan kepada orang ramai

KHAIRY Jamaluddin ketika mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Seremban. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengkaji semula beberapa kelonggaran yang diberikan kepada orang ramai selepas laporan 17 kes positif Covid-19 varian South African B.1.351 dikesan di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, varian virus tersebut difahamkan lebih mudah tersebar selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi yang akhirnya mewujudkan risiko berlakunya gelombang keempat kes positif Covid-19.

Lebih membimbangkan jelas beliau, beberapa vaksin Covid-19 yang ada juga tidak efektif untuk melawan varian tersebut sekali gus memberi kesan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Ini pandangan saya, kita patut mengkaji semula beberapa kelonggaran yang telah diberikan. Apabila varian ini tersebar, beberapa vaksin tidak efektif melawannya dan kadar penularan akan meningkat.

“Gelombang keempat akan lebih teruk berbanding gelombang ketiga. Kita tengok minggu lepas, kita telah hampir berjaya menurunkan gelombang ketiga (namun) beberapa hari lalu ia meningkat semula, saya amat bimbang kerana ini akan memberi kesan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Kelmarin Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, pihaknya telah mengesan 17 kes positif Covid-19 jangkitan tempatan yang dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351.

Varian terbabit ditemukan pada dua kakitangan syarikat yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kluster Jalan Lima serta satu kes masing-masing dari Kluster Kebun Baru dan saringan kontak rapat.

Khairy menambah, MKN perlu membincangkan sekali lagi, sama ada kelonggaran yang telah diberikan sebelum ini kepada orang ramai perlu diteruskan atau sebaliknya.

“Kita tidak salahkan orang ramai kerana mereka memang nak pergi bazar Ramadan, memang sukar untuk kekalkan penjarakan fizikal, tidak kira apa juga bentuk penguatkuasaan yang dilakukan.

“Akhirnya ia akan berada dalam keadaan berdekatan dengan orang lain, sama ada diteruskan atau tidak, saya rasa kita perlu melihat perkara ini dengan serius,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya