BUKIT MERTAJAM: Beberapa lorong di Plaza Tol Juru, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat di sini hari ini terpaksa ditutup sementara selepas minyak sawit yang dibawa oleh sebuah lori tangki melimpah keluar setelah tangki bocor pada kira-kira pukul 12 tengah hari hari ini.
Kejadian berlaku selepas lori tangki berkenaan dikatakan hilang kawalan dan melanggar plaza tol berkenaan menyebabkan tangkinya bocor.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.05 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi.
“Ketika bomba tiba, terdapat kebocoran minyak masak pada sebuah lori tangki muatan 20,000 liter disebabkan lori tangki tersebut telah melanggar tiang sisi plaza tol.
“Pemandunya iaitu lelaki berusia 50-an mengalami kecederaan ringan pada kaki dan dikejarkan ke hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jurucakap itu berkata, pihaknya bersama pasukan pengendali lebuh raya menjalankan kerja-kerja menghentikan kebocoran berkenaan dan pembersihan di kawasan tumpahan minyak tersebut sehingga selesai.
Menurutnya, operasi oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai itu selesai sepenuhnya pukul 1.30 petang.
Sementara itu, menurut laman sosial Twitter, Lembaga Lebuhraya Malaysia, kejadian tersebut menyebabkan aliran trafik ke arah utara perlahan sejauh kira-kira tiga kilometer. – UTUSAN