Minyak masak botol perlu jadi barangan kawalan - Utusan Malaysia

Minyak masak botol perlu jadi barangan kawalan

Minyak masak yang dibotolkan wajar dimasukkan dalam senarai SHMMP bagi mengurangkan beban pengguna. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minyak masak botol wajar dimasukkan sebagai barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 bagi mengurangkan beban pengguna ekoran peningkatan harga sejak kebelakangan ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana minyak masak mendapat permintaan tinggi terutama ketika musim perayaan dan sebarang peningkatan harga amat membebankan orang ramai yang kini berdepan krisis ekonomi dan pandemik Covid-19.

“Kenapa tidak dimasukkan minyak masak botol dalam senarai barang kawalan lagipun minyak masak mendapat permintaan yang tinggi terutama musim perayaan. Kita mengakui minyak masak paket diberikan subsidi tetapi pembeliannya sangat terhad. 

“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku terutama ketika negara berdepan krisis ekonomi dan pandemik Covid-19. Malah persatuan pengguna juga menyifatkan kenaikan itu tidak masuk akal tambahan pula minyak masak tidak berkualiti dijual pada harga mahal,” katanya dalam kenyataan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kenaikan harga minyak masak sehingga melepasi RM30 untuk botol seberat lima kilogram (kg) dengan ia dikesan bermula awal tahun ini namun semakin ketara ketika menjelang Ramadan, ia dijangka berlarutan sepanjang sambutan Aidilfitri.

Menurut Ahmad Zahid, pada awal Januari lalu beliau pernah membangkitkan masalah kenaikan harga minyak masak iaitu minyak botol 5 kg berharga antara RM19 hingga RM22 meningkat sehingga RM27. 

“Baru tiga bulan berlalu kenaikan sekali lagi berlaku antara RM28 hingga RM34. Apa yang bakal meningkat lagi selepas ini? Ia amat mengecewakan apatah lagi wang bernilai RM50 tidak mampu memenuhkan satu troli barangan.

“Kenaikan ini sudah tentu membebankan pengguna ketika sambutan Aidilfitri berbaki sekitar 17 hari lagi. Ramai pengguna merungut katanya kenaikan itu berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Johor. 

“Ada juga komen nakal warganet  yang mengatakan Malaysia mengeluarkan minyak sawit tetapi harga minyak masak seperti harga Yahudi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya