Minuman keras bernilai RM1.2 juta termasuk cukai dirampas - Utusan Malaysia

Minuman keras bernilai RM1.2 juta termasuk cukai dirampas

MOHD. Khairi Abdullah (kiri) bersama anggotanya menunjukkan minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Kayu Hitam, Kedah, hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) membongkar taktik licik sekumpulan individu yang cuba menyeludup lebih 1,000 karton minuman keras bernilai RM1.2 juta termasuk cukai dari Langkawi dekat sini, semalam.

Kumpulan tersebut dikesan melonggokkan besi buruk termasuk casis kereta di atas bahagian muatan dua buah lori yang membawa barangan tersebut bagi mengabui pihak berkuasa.

Komander Aksem Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintenden Mohd. Khairi Abdullah berkata, kedua-dua lori tiga tan itu dirampas sebaik tongkang yang membawa kenderaan tersebut dari Langkawi, berlabuh di Jeti Jabatan Laut, Kuala Kedah di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Katanya, taktik tersebut merupakan kali pertama dikesan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.

“Kalau tengok daripada mata kasar, lori tersebut memang kelihatan seperti sarat membawa muatan besi buruk.

“Tetapi apabila dikeluarkan besi buruk itu, terdapat ratusan karton minuman keras pelbagai jenama di bawahnya bagi setiap lori yang ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Aksem Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Tambahnya sehingga kini masih belum sebarang tangkapan dibuat dengan kes tersebut diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat diterima dan risikan yang dilaksanakan anggota Aksem sebelum ini,” ujarnya .

Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya