SEREMBAN: Empat anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja di sekitar Lukut dan Port Dickson.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mas Azmimin Ahmad mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mas Azmimin membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah reman terhadap keempat-empat individu itu bermula semalam hingga 21 April ini.
Terdahulu, empat individu tersebut yang diiringi pegawai SPRM dan memakai baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira pukul 10 pagi.
Semalam media melaporkan, sumber SPRM memberitahu, kesemua individu berusia antara 36 hingga 53 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang ketika hadir ke pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Sumber berkata, empat anggota MPPD itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pembantu penguat kuasa.
Difahamkan, kesemua mereka disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja-penjaja pasar pagi dan malam di sekitar Lukut dan Port Dickson.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjaja-penjaja yang tidak berlesen.