PUTRAJAYA: Pelbagai prasarana bercorak pelancongan rekreasi bakal dibina di Putrajaya dalam masa terdekat sekali gus menghidupkan pusat pentadbiran negara itu sehingga terkenal di seluruh dunia.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, antaranya ialah pembinaan Menara Putrajaya selain projek taman tema bersepadu dengan kawasan safari bernilai RM500 juta.
“Ia akan dibangunkan menerusi pelaburan daripada pihak swasta sendiri dan saya berharap segala dirancang itu dapat dimulakan selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat pembangunan projek Glamping @ Wetland (GL@W), Presint 13 di Perbadanan Putrajaya (PPJ) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, menara yang berkemungkinan besar dapat berfungsi seperti struktur menara telekomunikasi dan tempat cerap anak bulan itu akan dibina di zon berbukit.
“Ada satu kawasan bukit dikenal pasti sesuai dan kita merancang ia bukan sekadar menara tinjau pemandangan, malah banyak aktiviti yang boleh diadakan di sekitarnya,” kata beliau.
Turut dirancang ujarnya, ialah taman tema secara berintegrasi dengan kawasan safari di Presint 19 dianggarkan kos hampir setengah bilion ringgit dan berkeluasan sekitar 65 hektar persegi.
Tidak ketinggalan ialah kawasan khas perkelahan yang lebih tersusun dibuka kepada awam sepanjang masa bersebelahan Tasik Putrajaya dan mampu menjadi tarikan baharu Putrajaya.
Semua projek berskala besar tersebut jelas Annuar, akan dibina pihak pemaju swasta setelah mereka membentangkan idea dan konsep kepada PPj untuk penilaian sebelum diluluskan.
“Saya mahu ubah imej Putrajaya kepada bandar rekreasi pertama di Malaysia dengan orang luar boleh datang dan bukan lagi sekadar singgah sekejap untuk swafoto sahaja,” katanya.
Ia katanya, sejajar usia 25 tahun Putrajaya sudah dianggap matang, namun, apa dikesalinya, tiada banyak program besar dianjurkan sehingga kelihatan sunyi pada hari minggu dan cuti.
Menyentuh mengenai GL@W, Annuar berkata, projek ‘perkhemahan glamor’ itu juga dimajukan pihak swasta dengan ‘meniru’ kejayaan tapak serupa di Gopeng, Perak dan Janda Baik, Pahang.
Kawasan itu bakal menerima tempahan awal sekitar September depan yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk khemah dilengkapi tilam, permaidani dan pendingin udara.
“Ini akan mengubah persepsi lapuk mengenai perkhemahan dan kita mahu pelawat tinggal lama di situ dengan aneka aktiviti menarik bakal disediakan penganjurnya,” kata beliau lagi.
Turut dirancang ialah laluan pejalan kaki dengan struktur tangga seumpama satu paksi lurus di cerun Taman Putra Perdana di Presint 1 dari Dataran Putra hingga ke Hotel Pulse Grande.
Tangga berwarna-warni itu dengan ketinggian 30 meter dan jarak pendakian 200 meter akan menjadi laluan ikonik dan tumpuan pelancong untuk bersukan dan beriadah secara santai. -UTUSAN ONLINE