MELAKA: Harga ayam di Pasar Besar Melaka dekat sini melonjak secara tiba-tiba semalam membuatkan peniaga kian resah apabila pelanggan enggan membeli kerana disifatkan terlalu mahal berbanding beberapa hari sebelum ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga ayam dijual pada harga RM9.20 sekilogram iaitu harga tertinggi berbanding sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dengan harga RM8.60 sekilogram.
Selain ayam, harga daging kambing turut melonjak antara RM2 hingga RM3 manakala harga daging lembu dianggap stabil walaupun naik sedikit.
Turut mengalami kenaikan ketara ialah ikan kembong hitam mencecah RM22 sekilogram, ikan selar (RM20) dan sotong (RM40 hingga RM42).
Seorang peniaga, Ghazali Abu Bakar, 47, berkata, harga ayam naik kepada harga RM9.20 sekilogram bermula semalam dan itu adalah harga paling mahal pernah dijualnya.
“Saya tidak ada pilihan terpaksa jual pada harga ini. Memang rata-rata pelanggan yang datang ke pasar ini cakap, kenapa ayam mahal sangat?.
“Ayam datang pun harga mencecah antara RM8.60 hingga RM8.80 sekilogram. Saya bimbang jika harga ayam tidak dikawal khususnya menjelang sambutan Aidilfitri, susahlah saya nak berniaga,” katanya.
Ghazali menambah, pembekal memberitahunya, kenaikan itu disebabkan kos makanan ayam iaitu dedak meningkat dua kali ganda.
Dalam pada itu, peniaga daging kambing, T. Selvakumar berkata, bahan mentah itu bukan setakat mengalami kenaikan yang tinggi, malah bekalan juga tidak mencukupi sejak dua bulan lalu.
“Sepanjang tempoh dua bulan ini, banyak hari saya tidak berniaga disebabkan bekalan daging kambing tidak ada stok. Bukan saya sahaja tetapi ada empat lagi peniaga mengalami nasib yang serupa,” katanya.
Ujarnya, harga daging kambing terus melonjak sejak beberapa hari lalu dan dijangka mengalami kenaikan menjelang sambutan Aidilfitri.
Jelasnya lagi, harga sebelum ini bagi tulang rusuk ialah RM30 sekilogram tetapi kini naik kepada RM33, manakala daging paha yang dijual pada harga RM32 naik kepada RM36 sekilogram. -UTUSAN ONLINE