MBSA perkenal bazar Ramadan sistem bernombor - Utusan Malaysia

MBSA perkenal bazar Ramadan sistem bernombor

MOHD.Rashidi menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Berbuka Puasa MBSA di Hotel Concorde Seksyen 9 Shah Alam Selangor semalam.UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperketat prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan melancarkan sistem kemasukan bernombor di pintu masuk bagi mengawal penjarakan fizikal pengunjung bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd.Rashidi Ruslan berkata, sistem bernombor bertujuan mengawal aliran keluar masuk pengunjung berdasarkan jumlah gerai dan keluasan lokasi.

“Sebagai contoh bazar Ramadan di Kompleks PKNS ada 60 gerai. Purata tiga orang untuk satu gerai, maka petugas hanya akan membenarkan 180 orang sahaja membeli juadah dalam satu masa.

“Manakala, bagi bazar Ramadan Seksyen 13 pula, kita telah memindahkannya di pekarangan Stadium Shah Alam yang lebih luas dan selesa. Jika 100 gerai, 300 orang dibenarkan dalam satu masa,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa MBSA di Hotel Concorde malam tadi.

Menurut Mohd.Rashidi, sistem bernombor tersebut bermula semalam di 32 bazar Ramadan di bawah pentadbiran MBSA dan di 20 tapak yang diuruskan penduduk dan persatuan peniaga.

Jelasnya, seramai 200 penguat kuasa , pasukan khas dari Jabatan Sisa Pepejal dan juga Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan memantau semua bazar Ramadan untuk permulaan.

“Dalam suasana pandemik, kita terpaksa melalui proses tersebut kerana pengunjung bazar Ramadan terlalu padat.

“Kita tidak mahu wujud kluster Ramadan pula di kawasan pentadbiran MBSA. Apabila bazar Aidilfitri bermula minggu kedua dan ketiga bulan Ramadan, kita akan pastikan SOP dipatuhi bagi memudahkan pemantauan,”katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN