MBPP roboh struktur binaan tanpa kebenaran di Bukit Gambir - Utusan Malaysia

MBPP roboh struktur binaan tanpa kebenaran di Bukit Gambir

BEBERAPA struktur binaan di atas Bukit Gambir, Pulau Pinang dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) setelah didapati dibina tanpa kebenaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Beberapa struktur binaan di atas Bukit Gambir di sini dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam setelah didapati dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Struktur berbumbung yang diruntuhkan itu merangkumi pondok, kanopi dan tandas didapati dibina tanpa persetujuan atau permohonan daripada PBT.

Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP, pemeriksaan dijalankan pada 25 Januari lalu yang mana MBPP menemukan beberapa struktur tanpa kebenaran dibina di atas bukit berkenaan.

“MBPP mengeluarkan notis pada 27 Januari lalu di bawah Seksyen 72 (1) Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974, yang mengarahkan pemilik tanah untuk meruntuhkan struktur tersebut.

“Namun, tiada tindakan diambil oleh pemilik tanah sebelum MBPP menghantar notis susulan pada 28 Februari lalu di bawah Seksyen 72 (6) Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 dan satu lagi notis pada 15 Mac di bawah Seksyen 97 Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan tersebut memaklumkan, kesemua notis yang dihantar kepada pemilik tanah itu tidak dipatuhi dan tindakan diambil oleh MBPP untuk meruntuhkan struktur berkenaan semalam.

“Tindakan penguatkuasaan yang diambil bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi untuk keselamatan mereka sendiri.

“Kebenaran daripada MBPP adalah penting untuk memastikan struktur apa pun yang dibina sesuai dan mempunyai spesifikasi yang selamat untuk digunakan oleh orang ramai,” katanya.

Tambah kenyataan itu, tindakan merobohkan struktur binaan di Bukit Gambir tersebut bagi memastikan bukit-bukit di bahagian pulau tidak digondolkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Pembersihan kawasan bukit tanpa kelulusan pihak berkuasa adalah sangat merbahaya kepada ekosistem hutan dan orang ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya