MBPG kekal arahan peniaga pindah mulai Selasa - Utusan Malaysia

MBPG kekal arahan peniaga pindah mulai Selasa

ASMAN Shah Abd. Rahman (duduk, tengah) bertemu dengan wakil peniaga di Jalan Serangkai 1, Taman Bukit Dahlia, di Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) kekal dengan arahan supaya penjaja di Jalan Serangkai 1, Taman Dahlia di sini berpindah ke lokasi baharu yang ditetapkan, Selasa ini.

Datuk Bandar MBPG, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, arahan berpindah itu dikeluarkan pihaknya kerana telah menerima banyak aduan mengenai lokasi penjaja terbabit.

Jelasnya, antara isu dibangkitkan termasuklah kesesakan, kebersihan dan pelanggaran dasar yang dipersetujui sebelum ini seperti keluasan khemah dan pelbagai lagi.

“Pemindahan ke lokasi baharu itu sebenarnya dibuat untuk membantu penjaja agar mereka boleh berniaga dengan lebih selesa dan selamat.

“Di sana, kawasannya lebih luas dan penjaja boleh memasang khemah selain bekalan asas seperti elektrik dan air disediakan,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan wakil penjaja yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh.

Berlaku sedikit kekecohan dalam pertemuan itu apabila perbincangan masih tidak dapat mencapai kata sepakat kerana peniaga terlibat rata-ratanya tidak mahu berpindah ke lokasi baharu.

Semalam, akhbar ini melaporkan 41 peniaga di situ memohon dibenarkan untuk terus beroperasi di tapak sedia ada dan tidak dipindahkan ke tapak baharu seperti arahan dikeluarkan MBPG.

Wakil peniaga, Effendi Saad, 38, memberitahu, mereka hanya dimaklumkan berhubung arahan perpindahan itu pada Selasa lalu untuk berpindah mulai 13 April ini.

Menurutnya, keengganan peniaga untuk berbuat demikian adalah kerana lokasi baharu itu terletak di kawasan yang tidak strategik jika dibandingkan dengan lokasi sedia ada.

Sementara itu, Asman Shah turut mengulas berhubung keengganan kumpulan peniaga itu untuk berpindah yang didakwa mereka kerana lokasi baharu adalah tidak strategik.

Menurut beliau, dakwaan sama turut disuarakan mereka ketika diarahkan berpindah ke lokasi ketika ini kira-kira tiga tahun lalu.

“MBPG akan membantu golongan peniaga ini untuk memastikan lokasi baharu nanti turut menjadi strategik dan mampu menarik kehadiran pengunjung, sama seperti lokasi ketika ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya