KUALA TERENGGANU: Polis tidak menolak kemungkinan mayat rentung yang ditemukan di cerun semak Kampung Padang Air di Kuala Nerus pada Sabtu lalu adalah wanita.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya ada menerima lebih daripada satu laporan kehilangan orang, namun proses pengecaman tidak dapat dibuat berikutan keadaan mayat yang telah rentung.
Bagaimanapun, katanya, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) masih boleh dilakukan pada bahagian betis kanan mayat yang tidak terbakar.
“Setakat ini kita sudah mengambil sampel beberapa ahli keluarga berpotensi bagi menjalankan ujian DNA,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mayat tanpa identiti berkenaan ditemukan kira-kira tiga meter di cerun semak oleh pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Polis tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia lebih awal sebelum dibawa dan dibakar di lokasi kejadian. – UTUSAN