SUNGAI SIPUT: Mayat lelaki yang ditemukan dalam balutan kain dan kanvas di tepi jalan di Kilometer 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar dekat Kampung Lubuk Merbau pada 29 Mac lalu masih belum dituntut keluarganya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, identiti mayat dipercayai warga tempatan itu juga belum dikenal pasti ekoran lekuk pada jarinya tidak lagi kelihatan kerana sudah reput.
Katanya, mayat tersebut masih di bilik mayat di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
“Berdasarkan laporan bedah siasat sebelum ini, mangsa adalah warga tempatan berdasarkan parut suntikan pada bahu sebelah kiri.
“Hebahan telah dikeluarkan di semua kontinjen bagi semakan kes orang hilang untuk membantu mengenal pasti identiti mayat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kayuhan Basikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Dataran Victoria di sini hari ini.
Pada program tersebut, lebih 200 peserta turut serta dalam kayuhan sejauh 20 kilometer membabitkan warga polis Kontinjen Perak, Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Perak, agensi kerajaan dan media.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat lelaki berbalut kain berwarna putih dan selimut bercorak kartun yang dijumpai orang awam di jalan menghala ke Kuala Kangsar kira-kira pukul 10.15 pagi.
Mangsa dipercayai warga tempatan berdasarkan parut suntikan pada bahu sebelah kiri dan disyaki telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 36 jam.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, setiap ketua polis daerah diingatkan untuk memastikan tiada kejadian borang rentas negeri kosong yang telah sedia ditandatangani ketua polis balai berlaku di negeri ini.
Menurut beliau, tiada keperluan untuk borang itu ditandatangani awal kerana orang ramai perlu datang ke balai untuk membuat permohonan beserta alasan kukuh sebelum diberi kebenaran merentas negeri.
“Setakat ini, kita belum kesan kejadian (seperti di negeri lain) berlaku di Perak. Arahan telah dikeluarkan kepada ketua polis daerah bagi memastikan kejadian sama tidak berlaku di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE