NIBONG TEBAL: Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan mayatnya terbakar di dalam ladang kelapa sawit berdekatan sebuah kilang di Jalan Bukit Panchor, di sini semalam.
Mayat S. Sashi Kumar, 28, ditemukan orang awam rentung terbakar dalam keadaan terlentang kira-kira pukul 6.50 petang sebelum memaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, ketika ditemukan, mayat mangsa masih berkasut dengan pakaian terbakar selain terdapat kesan kebakaran pada pangkal pokok kelapa sawit kira-kira dua meter dari tempat mayat dijumpai.
“Turut dijumpai di tempat kejadian adalah pemetik api dan botol mineral dipercayai diisi dengan minyak petrol,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Chong Chern berkata, siasatan polis turut menemukan sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna biru kira-kira 15 meter daripada lokasi mayat dijumpai.
“Keadaan kereta dipercayai milik si mati itu tersusun kemas dan tiada tanda tanda pergelutan berlaku selain tiada sebarang senjata yang dapat dikaitkan dengan kejadian itu.
“Kes diklasifikasikan sementara sebagai kematian mengejut sebelum keputusan bedah siasat memandangkan tiada unsur yang mencurigakan dan dipercayai si mati membunuh diri,” katanya. – UTUSAN ONLINE