BAGAN DATUK: Mayat lelaki ditemukan tergantung dalam sebuah pondok usang di Bagan Sungai Burung, di sini, semalam.
Mayat lelaki tanpa identiti itu dijumpai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas terhidu bau busuk ketika sedang menjalankan kerja membaca meter di bangunan bersebelahan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya yang menerima maklumat penemuan itu pada pukul 12.35 tengah hari segera ke lokasi kejadian untuk siasatan.
Katanya, setiba di lokasi, didapati seorang lelaki dalam keadaan tergantung dengan tali pada alang bumbung terikat di leher manakala gumpalan tali pula terlilit pada pergelangan tangannya.
“Ketika ditemui, lelaki itu masih lengkap berpakaian baju-T dengan seluar jeans pendek. Mayat bagaimanapun telah membengkak dan berbau busuk dipercayai mati dalam tempoh lebih 24 jam.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di lokasi kejadian, namun, lelaki itu dipercayai warga asing dari Myanmar berusia lingkungan 30-an,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas mayat oleh pasukan dari Jabatan Forensik Kontinjen Perak mendapati tiada apa-apa kecederaan luaran pada fizikal badan lelaki itu.
Katanya, pondok jenis terbuka itu percayai tempat tidur lelaki terbabit kerana terdapat tilam dan juga pakaian bersebelahan tempat dia menggantung diri.
“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan ini selain tiada perumahan terdekat dan terletak kira-kira 200 meter dari jalan utama.
“Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat. Dipercayai mangsa adalah warga Myanmar yang membunuh diri dengan cara menggantung dirinya sendiri,” katanya.
Tambah beliau, tiada unsur jenayah ditemui pada badan mangsa dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE