Maut langgar dahan pokok di laluan kecemasan - Utusan Malaysia

Maut langgar dahan pokok di laluan kecemasan

LOKASI kemalangan di mana mangsa terlanggar dahan pokok di laluan kecemasan di Kilometer 229.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), Rembau, malam semalam.- SUMNBER Gambar awam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar dahan pokok yang berada di laluan kecemasan dalam kejadian yang berlaku Kilometer 229.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, mangsa, Muhamad Arasy Bahar, 39, beralamat di Kampung Padang Temu, Melaka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Senawang ke Ayer Keroh, Melaka.

“Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa terlanggar dahan pokok yang berada atas laluan kecemasan lalu menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terjatuh.

“Akibat kemalangan, mangsa yang mengalami kecederaan pelbagai disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pasukan paramedik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Hazri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa di bedah siasat pagi ini di Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, adik mangsa, Mohamad Azazol Bahar, 32, berkata, dia mengetahui abangnya terbabit dalam kemalangan daripada rakan sekampung yang datang ke rumah sebaik mendapat maklumat kemalangan daripada kumpulan aplikasi WhatsApp.

“Saya terkejut sebab abang yang bekerja sebagai pemandu sebuah sekolah orang kurang upaya (OKU) di Kuala Lumpur sudah biasa berulang alik ke kampung isterinya di Tampin sejak lebih dua bulan lalu.

“Sehari sebelum kemalangan, kami berbual panjang di telefon kira-kira 40 minit dan abang juga meminta nombor akaun untuk memasukkan wang buat kedua ibu bapa kami,” katanya lagi.

Menurutnya, Allahyarham abangnya itu meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak lelaki yang masih kecil iaitu berusia tiga serta lima tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya