Mat Sentol sihat, JKM bantu RM500 sebulan - Utusan Malaysia

Mat Sentol sihat, JKM bantu RM500 sebulan

ZAITON Ismail (kiri) ketika menyantuni seniman legenda Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rashid Yahya dalam kunjungannya ke kediaman beliau di Larkin Jaya, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor akan memberi bantuan sebanyak RM500 sebulan kepada pelawak dan pelakon veteran filem Melayu, Abdul Rashid Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, bantuan bulanan itu diharap dapat meringankan beban seniman berkenaan.

“Selain sumbangan RM500 sebulan, kita juga menyumbangkan kotak makanan kepada Pak Mat. Inisiatif ini juga sebagai menghargai sumbangan dan jasa beliau dalam industri perfileman tanah air.

“Beliau masih lagi sihat, jadi marilah kita sama-sama doakan seniman legenda ini terus diberikan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan dan menyampaikan bantuan tersebut di kediamannya, di Larkin Jaya, di sini hari ini.

Zaiton turut memaklumkan, Mat Sentol merupakan seorang daripada 11,373 penerima bantuan di daerah ini di mana sejak Januari hingga kini sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan setiap bulan.

Anak kelahiran Muar itu pernah membintangi filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.

Baru-baru ini tular di media sosial mendakwa seniman yang berusia 88 tahun itu uzur dan terlantar sakit di rumahnya dan berada dalam keadaan tidak mampu berjalan.

Namun perkara itu dinafikan anak lelakinya, Rosli Abdul Rashid, 59, yang memberitahu bapanya sihat malah ingatannya masih kuat.

Sementara itu, Mat Sentol mengucapkan terima kasih kepada JKM atas sumbangan tersebut dan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepadanya selama ini.

Bapa kepada lima anak dan 15 cucu itu bagaimanapun turut meluahkan perasaan rindu untuk bertemu rakan seangkatan dengannya yang masih hidup termasuk mereka yang sudah terputus hubungan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya