PEKAN: Pejabat Kesihatan daerah mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada Masjid Sri Maulana, Taman Sri Maulana di sini kerana gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Tok Muda Awang Ngah mengesahkan perkara itu dan menjelaskan kompaun dikeluarkan berikutan masjid itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Kompaun dikeluarkan supaya ia menjadi iktibar kepada masjid lain malah pihak Masjid Sri Maulana sudah membuat bayaran kompaun itu dengan pengurangan 50 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan berterusan di masjid dan surau di negeri ini.
“Kita telah meminta penguat kuasa JAIP memastikan kod QR dapat dipamerkan dan diguna setiap individu yang datang ke masjid. Mungkin ada berlaku kekhilafan oleh ahli jemaah atau oleh pengurusan itu di luar jangkaan kita,” ujarnya.
Semalam tular dalam laman media sosial tentang notis kompaun RM10,000 yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Pekan kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Sri Maulana pada pukul 11 pagi kerana gagal menyediakan QR Code MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.
Kejadian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang meninggalkan komen dan pandangan masing-masing dalam satu entri di Facebook. -UTUSAN ONLINE