Masak lapan periuk bubur lambuk sehari - Utusan Malaysia

Masak lapan periuk bubur lambuk sehari

TUKANG masak, Musthafa Kamal Varusai Mohamad (kanan) dan rakannya membasuh periuk sebagai persediaan untuk memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan di Masjid India Muslim Ipoh hari ini. - UTUSAN/ ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sepertimana menjadi tradisi sejak 80 tahun lalu, Masjid India Muslim Ipoh di sini akan menyediakan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan untuk diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.

Menariknya, ia juga menjadi satu-satunya masjid di bandar ini menyediakan bubur lambuk daging kambing yang dimasak bersama lebih 16 jenis rempah ratus.

Pengerusi Masjid India Muslim Ipoh, Shaik Mujiburrahman Mohd. Yuusoff berkata, sebanyak lapan periuk bubur lambuk disediakan setiap hari sama ada bubur nasi atau bubur lambuk kambing yang dimasak secara berselang sehari oleh tiga orang tukang masak.

Menurut beliau, kos bagi penyediaan tersebut adalah sebanyak RM1,000 sehari meliputi 150 kilogram beras, minyak masak dan bahan-bahan masakan lain termasuk tambahan 40kg daging kambing.

“Resepi bubur lambuk kita adalah yang sama sejak 80 tahun lalu, tak berubah baik daripada segi bahan-bahan atau rasa.

“Kerja-kerja memasak biasanya bermula seawal 8 pagi di dapur masjid dan siap menjelang pukul 1 petang. Pada tahun ini, agihan bubur lambuk akan dibuat lebih awal iaitu bermula pukul 4 petang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Sukarelawan masjid akan mengawasi agihan ini, jika perlu kita akan memasang khemah di pekarangan masjid untuk mengelak orang ramai beratur panjang,” ujarnya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Jika di kebanyakan tempat, bubur lambuk diagihkan di dalam bekas plastik atau dibungkus, sebaliknya orang ramai yang datang ke Masjid India Muslim Ipoh hanya perlu membawa bekas makanan sendiri.

Kata Shaik Mujiburrahman, amalan tersebut adalah tradisi sejak puluhan tahun lalu bertujuan tidak menghadkan agihan.

“Lebih 75 peratus daripada mereka yang mengambil bubur lambuk adalah orang Melayu terutamanya bubur lambuk daging kambing.

“Kita juga membenarkan sesiapa sahaja datang untuk mengambil bubur lambuk termasuk mereka yang bukan beragama Islam sebagai salah satu pendekatan berdakwah pihak masjid,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya