JERANTUT: Sama ada martabak ayam atau daging, menu ini sentiasa menjadi pilihan penggemar makanan itu ketika berkunjung ke bazar Ramadan.
Keunikannya terletak pada ramuan isinya yang menentukan sedap atau tidak martabak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penjual martabak, Erma Diana Apwa, 42, memilih sedikit kelainan pada Ramadan kali ini apabila menyediakan campuran daging rusa untuk menarik perhatian pelanggan berbelanja juadah berbuka puasa.
“Setiap hari ini, saya sediakan lima kilogram daging rusa segar untuk inti martabak. Selain rusa, saya juga menyediakan martabak daging lembu dan juga ayam.
“Bekalan daging rusa segar diperoleh daripada pembekal daging di bandar Jerantut setiap hari,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.
Menurut Erma Diana, kebiasaannya dia membuat 50 keping martabak daging rusa setiap petang untuk dijual manakala hampir jumlah yang sama martabak daging lembu dan ayam dalam tempoh empat jam berniaga sebelum masuk waktu berbuka.
“Kebiasaannya, martabak daging rusa lebih laris dan habis cepat kerana ditempah oleh pelanggan yang menunggu lebih awal untuk membeli,” katanya.
Katanya, daging rusa lebih halus, mempunyai aroma dan rasanya lebih sedap berbanding lembu dan ayam, namun kalangan pelanggan membuat pilihan berasaskan selera masing-masing untuk berbuka puasa.
“Saya menjual sekeping martabak daging rusa RM7 manakala martabak daging lembu dan ayam RM5. Pendapatan ini bolehlah dijadikan modal untuk perniagaan di bulan Ramadan ini manakala selebihnya menyediakan keperluan keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Menurutnya, suaminya, Mohd. Shahrul Shamsudin, 49, memastikan bekalan daging rusa mencukupi pada setiap hari bagi memenuhi permintaan penggemar martabak tersebut pada setiap petang. – UTUSAN ONLINE