ARAU: Dalam kemeriahan bazar Ramadan Arau berhampiran Pasar Besar Arau di sini, orang ramai kelihatan beratur panjang di sebuah gerai martabak yang menjadi antara menu ‘wajib’ pelanggan setiap kali bulan puasa.
Setiap kali Ramadan, gerai Martabak Arau yang diusahakan Md. Azam Md. Ali, 36, sentiasa menjadi tumpuan pelanggan yang tidak melepaskan peluang mendapatkan martabaknya yang dikatakan antara paling popular di kawasan ini.
Jadi tidak hairanlah, Md. Azam yang mengusahakan perniagaan tersebut sejak 18 tahun lalu mampu menjual lebih 800 keping martabak sehari.
Menyedari suasana ekonomi semakin mencabar berikutan pandemik Covid-19, martabak ayam dan daging di gerai tersebut hanya dijual pada harga serendah RM4.
Md. Azam berkata, antara keistimewaan martabak hasil resipi turun-temurun keluarga itu adalah isi ayam dan daging potongnya yang padat selain saiz yang agak besar.
Katanya, gerai martabaknya beroperasi pada pukul 3 petang sehingga waktu berbuka puasa dengan seawal pukul 4 petang orang ramai sudah mula beratur bagi mendapatkan menu ‘wajib’ berbuka puasa itu.
Malah katanya, dapat dilihat suasana di bazar tahun ini lebih meriah memandangkan orang ramai cukup merindui suasana tersebut selepas tahun lalu bazar Ramadan tidak dapat beroperasi.
“Alhamdulilah, jualan martabak saya mendapat sambutan yang cukup positif selepas terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 sebelum ini apabila tidak dapat menjalankan perniagaan.
“Insya-Allah di bulan Ramadan penuh keberkatan ini, saya harap rezeki akan bertambah dengan hasil jualan yang baik,” kata bapa kepada dua orang anak berusia 11 dan lapan tahun itu ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain bazar Ramadan Arau, Md. Azam yang dibantu beberapa orang pekerja turut menjalankan perniagaan martabak di tepi jalan di pekan Kodiang, Kedah.
“Bagi siapa yang ingin mencuba martabak Arau ini bolehlah mengunjungi gerai kami yang dibuka pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.