Maritim tahan bot pukat hanyut dan empat individu menangguk siput - Utusan Malaysia

Maritim tahan bot pukat hanyut dan empat individu menangguk siput

MARITIM Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan pukat hanyut kelas A kerana melakukan aktiviti perikanan serta menggunakan peralatan yang dilarang di perairan barat muara Kuala Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan pukat hanyut kelas A kerana melakukan aktiviti perikanan serta menggunakan peralatan yang dilarang di perairan barat muara Kuala Perlis di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, bot nelayan tersebut dikesan menangguk siput jenis retak seribu di kedudukan lebih kurang 13 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis.

Katanya, bot Maritim Malaysia yang melakukan rondaan rutin Op Aman mengesan bot tersebut dalam keadaan mencurigakan kerana menjalankan aktiviti di tengah malam dan disyaki melakukan aktiviti menangguk siput di perairan pantai berkenaan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan menuju ke sempadan negeri Kedah bagi melarikan diri, namun, pihak Maritim Malaysia berjaya memintas dan menahan bot tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot nelayan tersebut berpangkalan di Kuala Kedah dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (3) (a) Akta Perikanan 1985,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shafie, empat kru bot termasuk tekong warga tempatan berumur 18 hingga 47 tahun ditahan serta bot dan hasil tangkapan tersebut diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, peralatan yang dirampas adalah satu set sangkar besi berupa tangguk yang dianggarkan bernilai RM2,000.

“Tindakan bot nelayan berkenaan yang melakukan penangkapan siput di perairan Kuala Perlis adalah satu kesalahan kerana Jabatan Perikanan Perlis tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi penangkapan siput.

“Aktiviti itu boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dan mampu menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan dan tradisional yang lain.

“Maritim Malaysia sentiasa mengambil maklum terhadap aduan berhubung pelanggaran undang-undang yang sebahagiannya membabitkan kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha bot siput,” ujarnya.

Sebagai rekod, tahun ini sahaja, Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis sudah menahan tiga buah bot kelas A yang melakukan kesalahan yang sama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya