PASIR PUTEH: Tiga warga Vietnam gagal meloloskan diri selepas mencuri gamat di perairan negara apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mengejar dan menahan bot mereka di lokasi 105 kilometer dari Kuala Tok Bali, Khamis lalu.
Maritim Malaysia berjaya memberkas dua awak-awak dan seorang tekong berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun itu pada pukul 3.35 petang ketika menjalankan Op Naga Barat di perairan negeri ini.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, susulan penahanan itu, pihaknya merampas 40 kilogram gamat, 7,000 liter diesel serta peralatan menangguk gamat serta bot yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM300,000.
Kata beliau, selepas menyedari kegiatan mereka terbongkar kira-kira pukul 3 petang, bot nelayan asing terbabit melepaskan lingkaran tali ke dalam air bagi menghalang bot pihak berkuasa merapat sebelum cuba memecut laju.
“Selepas 30 minit mengejar, bot nelayan asing tersebut akhirnya mengalah dan berjaya ditahan pada pukul 3.35 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhd. Nur Syam Asmawie berkata, pemeriksaan awal mendapati semua nelayan terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri selain tidak mempunyai kebenaran menangkap ikan dan hasil laut di perairan negara.
Menurutnya, bot dan kesemua nelayan asing itu dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Negeri
Kelantan untuk disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia. -UTUSAN ONLINE