MARDI tubuh pusat penyelidikan pertanian hijau tanah tinggi - Utusan Malaysia

MARDI tubuh pusat penyelidikan pertanian hijau tanah tinggi

DR. RONALD Kiandee (tengah) merasmikan Pusat Kecemerlangan Pertanian Hijau MARDI di Cameron Highlands hari ini. Turut kelihatan Dr Mohamad Roff (kiri) dan Dr. Mohamad Zabawi - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pembukaan Pusat Kecemerlangan Pertanian Hijau, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini, diharapkan dapat memantapkan lagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh agensi berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pusat itu merupakan satu-satunya stesen penyelidikan yang ditubuhkan bagi memantapkan R&D MARDI dalam memberi tumpuan utama kepada tanaman tanah tinggi.

Menurutnya, stesen tersebut berfungsi sebagai stesen kecemerlangan penyelidikan teknologi pertanian hijau dan pertanian tanah tinggi serta merupakan stesen sokongan kepada pemindahan teknologi MARDI.

“Antara aktiviti penyelidikan yang dijalankan di MARDI Cameron Highlands adalah penyelidikan agronomi dan sistem pengeluaran dan  pengawalan perosak.

“Pusat ini juga menjalankan penyelidikan penyakit serta pengendalian lepas tuai bagi sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan, penyelidikan pemuliharaan tanah dan pengumpulan, pemuliharaan dan penggunaan sumber genetik tanaman tanah tinggi”, katanya ketika berucap merasmikan pembukaan pusat berkenaan di sini hari ini. 

Yang turut hadir Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor dan timbalannya, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Ronald turut menzahirkan rasa bangga apabila berpeluang melancarkan dua lagi teknologi Mardi iaitu Teknologi Biopestisid Multi Virus dan Baja Organo Plus yang memberi manfaat kepada tanaman tanah tinggi yang mesra alam dan meningkatkan hasil tanaman. 

“Saya yakin MARDI akan terus berusaha untuk membuat kajian dan penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh petani dan pihak industri agar sektor pertanian terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. 

Teknologi Biopestisid Multi Virus berkesan mengawal serangan empat ulat perosak Lepidoptera di ladang kubis di samping mesra alam.

Teknologi itu tidak memusnahkan serangga bermanfaat seperti lebah dan kelulut serta tidak meninggalkan sisa dan hasil sayuran boleh terus dituai dan mengurangkan perkembangan masalah kerintangan atau kekebalan serangga perosak terhadap racun kimia. 

Baja Organo Plus pula antaranya membekalkan unsur nutrien makro dan surih yang penting di mana ia telah diuji keberkesanannya pada sayuran serta bungaan.

Dalam dalam masa, ia  bukan sahaja meningkatkan hasil tanaman malah menyuburkan tanah dengan aplikasi yang berterusan, meningkatkan kesuburan dan kualiti tanah dengan penggunaan berpanjangan dan sesuai untuk semua jenis tanah dan tanaman. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya