Maqis Selangor rampas 7,824 kg produk lemak sayuran - Utusan Malaysia

Maqis Selangor rampas 7,824 kg produk lemak sayuran

PRODUK lemak sayuran dari Ireland yang dibawa sebuah pasar raya besar berjaya dirampas Maqis Selangor kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Tindakan sebuah pasar raya besar membawa masuk lemak sayuran dari Ireland menggunakan dokumen mengelirukan membawa padah apabila produk itu dirampas di Pelabuhan Klang Utara kelmarin.

Rampasan kira-kira pukul 10 pagi oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menemukan sebanyak 7,824 kilogram produk lemak sayuran tersebut.

Produk lemak sayuran yang dirampas Maqis Selangor.,

Pengarah Maqis negeri, Zamri Hashim berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin terhadap barang dagangan dan menemukan produk tersebut yang diletakkan dalam sebuah kontena.

“Pemeriksaan mendapati anggaran nilai keseluruhan barang dagangan tersebut adalah sebanyak RM116,211.73. Kita mendapati berat dalam dokumen tidak sama dengan jumlah produk dibawa syarikat tersebut.

“Malah, siasatan juga mendapati kontena ini telah sampai di pelabuhan pada 28 Mac lalu dan produk lemak sayuran ini dibawa masuk oleh sebuah pasar raya besar selain untuk dipasarkan di pasaran tempatan bagi industri pastri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Zamri, kes disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengemukakan permit yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Kita sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus mempertingkatkan lagi kawalan di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya