Maqis Pulau Pinang rampas produk kerbau sejuk beku dari India - Utusan Malaysia

Maqis Pulau Pinang rampas produk kerbau sejuk beku dari India

SEBANYAK 3,748 kotak produk kerbau sejuk beku dari India dirampas Maqis Pulau Pinang selepas didapati dilabel menggunakan maklumat tidak tepat seperti diisytihar pada Sijil Halal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri merampas sebanyak 3,748 kotak produk kerbau sejuk beku dari India selepas didapati dilabel menggunakan maklumat tidak tepat seperti diisytihar pada Sijil Halal.

Pengarah Maqis negeri, Noriah Dahlan berkata, kesemua produk ruminan itu dirampas dari dua buah kontena ketika pemeriksaan rutin di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini pada Isnin dan Selasa lalu.

Menurut beliau, kedua-dua kontena itu membawa produk berkenaan dengan anggaran berat 55,994 kilogram (kg) dan bernilai RM603,932.76.

Jelasnya, kesemua barang dagangan tersebut ditahan untuk tindakan dan siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Menurut seksyen ini, mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-keduanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Noriah, pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Katanya, pemeriksaan itu juga bagi memastikan pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya