Mangsa ribut Merapoh lega rumah bakal dibaik pulih - Utusan Malaysia

Mangsa ribut Merapoh lega rumah bakal dibaik pulih

MUSTAPA Long meninjau kerosakan rumah Che Ismail Umat yang rosak teruk ditimpa pokok buah-buahan di Kampung Berhamah di Lipis, Pahang. UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Tiga mangsa ribut di dua buah kampung di Merapoh di sini bersyukur kerana dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan sedikit ceria apabila diberi jaminan kediaman mereka yang rosak akan dibaikpulih oleh Pusat Giat Mara dalam masa terdekat.

Mangsa berkenaan, iaitu Che Ismail Umat dan Zainab Che Kob di Kampung Berhamah dan Mohd. Yazid Dhamiri Sarwani di Kampung Kumbang Hilir yang masing-masing rumah dihempap pokok dan rosak di bahagian bumbung serta atap apabila diterbangkan ribut ketika kejadian pada 18 April lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Yazid Dhamiri, 35, berkata, dia berterima kasih apabila mendengar jaminan untuk kerja membaik pulih oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman.

“Hari ini, sekali lagi jaminan untuk membaik pulih kediaman kami juga diberitahu oleh wakil rakyat Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang memberikan sumbangan dan melihat kesan bumbung dan atap rumah saya yang diterbangkan angin.

“Ini merupakan kejadian ribut kali kedua memusnahkan bahagian bumbung dan atap rumah ini setelah baharu sahaja dibaik pulih selepas peristiwa yang sama pada penghujung tahun lalu,” katanya ketika menerima bantuan wang tunai daripada Mustapa di Kampung Kumbang Hilir, Merapoh di sini semalam.

Che Ismail pula berkata, dia bersyukur dan gembira menerima bantuan awal daripada Mustapa untuk belanja keperluan tertentu dalam bulan Ramadan sebelum kerja baik pulih rumah dijalankan.

“Sebahagian kediaman ini rosak teruk akibat dihempap pokok buah-buahan dan memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk kerja baik pulih.

“Tetapi, mujurlah Ahli Parlimen Lipis dan Padang Tengku memberikan jaminan untuk membantu dan bolehlah kami menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan selesa tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, Pusat Giat Mara sebuah agensi di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah pun membuat siasatan bagi tujuan membaik pulih kerosakan dalam masa terdekat.

“Saya berterima kasih kepada Abdul Rahman yang. memberi jaminan untuk membantu membaik pulih kediaman ketiga-tiga mangsa ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN