Malaysia terima vaksin CanSino 3.5 juta dos bermula bulan ini - Utusan Malaysia

Malaysia terima vaksin CanSino 3.5 juta dos bermula bulan ini

ADHAM Baba (dua kiri) dan Mohd. Nazlee (dua kanan) bertukar dokumen perjanjian antara Kementerian Kesihatan dan Solutions Biologics Sdn. Bhd. di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bakal menerima bekalan vaksin CanSino dari China berjumlah 3.5 juta dos secara berperingkat bermula bulan ini dengan penghantaran pertama sebanyak 150,000 dos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, vaksin Covid-19 yang satu-satunya menggunakan satu dos itu akan memanfaatkan 3.5 juta penduduk negara ini atau meliputi 10.9 peratus dengan pembekalan kedua sebanyak 350,000 dos pada Mei ini.

Menurut beliau, pembekalan pertama dan kedua itu melibatkan vaksin yang telah siap manakala penghantaran berikutnya sehingga Ogos adalah secara pukal oleh Syarikat Solution Biologics Sdn. Bhd. iaitu syarikat tempatan yang dipilih untuk membuat pengilangan dan pembotolan di negara ini.

“Syarikat tempatan ini akan mendapat faedah pemindahan teknologi pembotolan vaksin The Convidecia, Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), yang dibangunkan oleh CanSino Biologic Inc. yg berpangkalan di Tianjin, China.

“Bagaimanapun, syarikat ini perlu memenuhi semua perkara berkaitan pematuhan peraturan pendaftaran Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum membolehkan pembekalan vaksin ini kerana menitikberatkan soal keberkesanan, keselamatan dan kualti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian dengan Syarikat Solution Biologics Sdn. Bhd. itu diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nazlee Kamal di Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Ia disaksikan oleh TImbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Urusan Kumpulan syarikat itu, Lim Yong Hew.

Adham berkata, pemberian vaksin CanSino itu akan difokuskan kepada penerima di kawasan pedalaman dan mereka yang sukar dicari atau mana-mana individu yang tidak ada keupayaan untuk datang dua kali bagi mendapatkan vaksin dari jenis dua dos.

Beliau menjelaskan, berdasarkan data-data klinikal dari NPRA yang melihat kepada keberkesanan vaksin CanSino ini adalah mencukupi untuk membuat vaksinasi kepada penduduk di negara ini.

Pada masa sama, Adham memberitahu, kelebihan CanSino ini juga lebih mudah cara penyimpanan iaitu pada suhu 2 – 8 darjah celsius dan tempoh hayat adalah selama 12 bulan dari tarikh pembelian.

“Saya dimaklumkan DCA akan bermesyuarat esok, kita harap pihak syarikat memberikan segala data kepada NPRA dan DCA bagi membolehkan pihak berkuasa ini mengemukakan pandangan kerana kita tidak boleh melewatkan pembelian vaksin satu dos ini kerana keperluan mendesak untuk pelaksanaan pemberian vaksin fasa 2 dan 3.

“Pihak syarikat akan membuat pembotolan vaksin setiap 1 juta dos pada Jun, Julai dan Ogos,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya