Malaysia siap sedia jika ada keperluan dos ketiga Pfizer - Utusan Malaysia

Malaysia siap sedia jika ada keperluan dos ketiga Pfizer

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersiap sedia dan melakukan perancangan sekiranya wujud keperluan bagi suntikan dos ketiga vaksin Pfizer-BioNTec pada masa depan.

Itu jawapan diberikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin susulan kenyataan Ketua Pengarah Operasi Pfizer, Albert Bourla mengenai keperluan suntikan dos ketiga dalam tempoh setahun selepas menjalani inokulasi.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, buat masa ini, tiada sebarang data lengkap diterima mengenai keperluan dos ketiga itu.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV) akan merancang untuk tempoh jangka panjang sekiranya wujud keperluan ke arah itu.

“Bagi dos ketiga, kita belum tahu lagi sebab itu hanya pandangan pihak Pfizer, mungkin perlu ada ‘booster’ dos ketiga,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK, hari ini.

Baru-baru ini, Bourla dilaporkan berkata, suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 mungkin diperlukan dalam tempoh setahun selepas menjalani inokulasi susulan kajian menunjukkan suntikan vaksin itu berkesan sehingga 91 peratus untuk melindungi penerimanya daripada virus.

Berhubung keputusan kerajaan mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca, Khairy berkata, perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat JKJAV Khamis ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tinjauan dalam talian mendapati hanya lima peratus daripada 15,000 responden menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

“Jumlah itu dilihat berkurangan berbanding dapatan tinjauan Disember lalu, yang merekodkan sebanyak 16 peratus tidak bersetuju dan 17 peratus tidak pasti menerima vaksin.

“Hasil dapatan tinjauan terbaharu ini juga mendapati, sebanyak 85 peratus bersetuju menerima vaksin manakala 10 peratus tidak pasti,” katanya.

Tinjauan selama tiga minggu bermula 3 April lalu itu membabitkan seramai 15,639 responden dengan 88.3 peratus sudah mendaftar sebagai penerima vaksin, 6.1 peratus sudah menerima vaksin dan 55.4 peratus golongan B40 serta 4.8 peratus bukan warganegara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya