PETALING JAYA : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia bersedia berbincang dengan semua pihak serta menggembleng usaha dengan anggota ASEAN lain bagi membantu Myanmar dalam menyelesaikan krisis dihadapi negara tersebut.
Tegas Perdana Menteri, krisis yang sedang berlaku di sebuah negara ASEAN sudah tentunya akan memberi kesan besar kepada negara lain dan boleh mencetuskan isu lain seperti pelarian, pemerdagangan manusia dan membuka ruang kepada aktiviti merekrut pengganas.
“Saya turut mengulangi kesediaan Malaysia untuk berbincang dengan semua pihak serta menggembleng usaha dengan anggota ASEAN lain bagi membantu Myanmar menyelesaikan krisis tersebut.
“Alhamdulillah hasil daripada pertemuan ini wakil Myanmar tidak menolak cadangan yang dikemukakan dalam mesyuarat itu malah bersedia menerima wakil ASEAN ke negara tersebut pada waktu yang sesuai.
“Ini merupakan peluang terbaik kepada ASEAN untuk menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di sana,” katanya dalam Facebook beliau.
Semalam Muhyiddin mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri pertemuan pemimpin-pemimpin ASEAN di Jakarta, Indonesia yang diadakan khusus bagi membincangkan perkembangan terkini di Myanmar.
Turut bersama Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Kamsiah Kamaruddin serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri para pemimpin dari negara Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Kemboja manakala Thailand, Laos dan Filipina pula masing-masing diwakili oleh Menteri Luar sementara Myanmar diwakili Jeneral Kanan Min Aung Hlain.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pada pertemuan tersebut beliau melahirkan rasa prihatin yang mendalam terhadap situasi yang sedang berlaku di Myanmar sejak beberapa bulan ini dan percaya rakan-rakan ASEAN yang lain turut berkongsi perasaan sama.
“Saya juga menegaskan Malaysia selaku negara terawal yang mencadangkan agar Myanmar diterima sebagai ahli keluarga ASEAN pada tahun 1977 mahu segala ketegangan, keganasan dan pembunuhan yang sedang berlaku sekarang dihentikan begitu juga dengan tahanan politik hendaklah dibebaskan segera.
“Pertemuan ini sangat bersejarah kerana inilah kali pertama para pemimpin ASEAN bertemu secara bersemuka sejak pandemik Covid-19 melanda dunia,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan beliau juga mengambil peluang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan berbincang banyak perkara terutama mengenai hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan Malaysia- Vietnam serta isu berkaitan pengurusan Covid-19.- UTUSAN ONLINE