Makam lama Tok Raja Hulubalang Ali berusia lebih 300 tahun ditemukan - Utusan Malaysia

Makam lama Tok Raja Hulubalang Ali berusia lebih 300 tahun ditemukan

BATU nisan unik dipercayai milik Tok Raja Hulubalang Ali ditemukan di Kampung Jengka Batu 13, Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Sebuah makam lama berusia lebih 300 tahun yang dipercayai milik Tok Raja Hulubalang Ali, seorang pembesar istana, ditemukan di Kampung Jengka Batu 13, dekat sini baru-baru ini.

Tok Raja Hulubalang Ali merupakan anak kepada Tok Raja Hulubalang Tambi berasal dari Pagar Ruyung dipercayai berkhidmat dengan kesultanan Johor-Riau dalam abad ke-16.

Hulubalang berkenaan membawa diri ke Pahang dan sampai di sekitar daerah Chenor dan membuka perkampungan baharu di Kampung Jengka Batu 13 berhampiran Sungai Jengka.

Tok Raja Hulubalang Ali mempunyai tiga orang anak iaitu Tok Syahbandar Jidin, Tok Jili dan Puteri Cik Siti Fatimah berdarah putih.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, waris Tok Raja Hulubalang Ali, Yang Timah Mansor, 70, berkata, nenek moyangnya adalah seorang panglima dan pelayar hebat pada masa silam.

Menurutnya, dia dari keturunan Tok Syahbandar Jidin berjuraikan Panglima Mansu Kota Berjalan, Panglima Muda Jempol, Tok Rasu dan Tok Mansor.

“Tok Mansor adalah ayah saya yang bersusur galur keturunan Tok Raja Hulubalang Ali yang juga ayahanda Puteri Cik Siti Fatimah berdarah putih yang mati dibunuh sekitar 1600,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Jengka Batu-13 di sini semalam.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati makam tersebut berada di kawasan tanah milik persendirian dan terbiar.

Makam itu dikelilingi pagar dawai dibina Muzium Pahang dan Kerabat Kesultanan Brunei yang dipercayai ada jurai kaitan dengan kerabat kesultanan negara itu.

Berdasarkan kepada pemerhatian, batu nisan agak besar diperbuat daripada batuan gunung yang diukir namun tiada maklumat nama pemiliknya.

Pihak muzium atau mana-mana pihak khususnya para sejarawan membuat kajian secara ilmiah penemuan batu nisan seorang hulubalang zaman silam tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Badan Kebudayaan Daerah Maran, Datuk Mohamed Ariffin Awang Ismail berkata, pusara yang ditemukan merupakan bentuk batu nisan yang jarang ditemukan di negara ini.

Berikutan itu jelasnya, pakar sejarah tempatan perlu membuat kajian kedudukannya dalam Kesultanan Melayu Pahang Lama, Acheh dan Johor Riau.

“Dalam pada itu, para warisnya yang masih menetap di pinggir Sungai Jengka secara turun-temurun perlukan perhatian pihak berkuasa sebagai jurai keturunan pahlawan zaman silam yang berjasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya