SHAH ALAM: Majikan yang ditahan susulan terlibat dalam kejadian memukul dua pengawal keselamatan, Rabu lalu disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini, siasatan masih dijalankan dan suspek yang merupakan ahli perniagaan berusia 43 tahun itu direman lima hari.
Katanya, tahanan reman dilakukan berkaitan memukul pengawal keselamatan dan siasatan juga dilakukan dibawah AMLATFPUAA yang dijalankan oleh Bukit Aman.
“Saya juga difahamkan polis memang dalam proses untuk menyita harta dan sebagainya. Bagaimanapun, siasatan setakat ini mendapati tiada penglibatan kongsi gelap terhadap suspek yang ditahan, namun siasatan masih dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Terdahulu, suspek direman tiga hari oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan disiasat di bawah Seksyen 324, Seksyen 298 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian Rabu lalu, hanya kerana berpuasa, dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, dekat sini.
Malah, kedua-dua mangsa mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, Selangor sebelum dipukul dengan sebatang rotan selain diacukan pistol.
Akibat kejadian, kedua-dua mangsa mengalami lebam pada bahagian belakang badan dan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Susulan kejadian, majikan terbabit direman tiga hari bagi membantu siasatan dan turut ditahan reman empat individu lain termasuk seorang pengurus yang terbabit dengan kes tersebut.
Namun, penahanan empat individu yang terbabit membongkar kepada penemuan 100 kilogram jongkong emas dan 12,500 keping not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM28.25 juta dalam rumah salah seorang suspek di Bukit Tinggi di sini. – UTUSAN ONLINE