Maik peruntuk RM306,646 lahirkan huffaz profesional - Utusan Malaysia

Maik peruntuk RM306,646 lahirkan huffaz profesional

PENASIHAT Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia, Eyyup Gundogdu (kanan) menerima replika cek daripada Tengku Mohamad Rizam dalam Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, Tumpat hari ini. -UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, di sini menerima peruntukan sebanyak RM306,646 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk dimanfaatkan bagi program melahirkan golongan huffaz profesional.

Yang Dipertua Maik, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM126,000 diperuntukkan bagi menaja pengajian 10 pelajar maahad tahfiz berkenaan untuk tempoh selama tiga tahun.

“10 pelajar terbabit akan ditaja sehingga setelah tamat pengajian di sini sebelum menyambung pelajaran di Turki dengan kos keseluruhan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Turki,” katanya ketika merasmikan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia, Datuk Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Tengku Mohamad Rizam berkata, idea penubuhan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah diilhamkan hasil daripada lawatan kerja Maik ke Turki bersama kerajaan negeri Kelantan pada pertengahan tahun 2019.

Katanya, bagi menyiapkan pembinaan bangunan maahad tahfiz itu, Maik melalui Wakaf Tunai menyalurkan sebanyak RM49,000 selain memperuntukkan wang zakat RM56,646 dan RM75,000 daripada baitulmal untuk pembelian perabot, pendingin hawa dan kemudahan lain.

“Maik juga merakamkan penghargaan khusus kepada Mat Razi Mat Ali yang mewakafkan tanah beliau untuk dijadikan tapak selain berusaha mendapatkan dana bagi menyempurnakan pembinaan maahad tahfiz ini,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam juga berkata, Maik berharap pembinaan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah menjadi ‘pioneer project’ kepada lebih banyak pembangunan sekolah wakaf di Kelantan dan seluruh negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN