ALOR SETAR: Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) tidak bercadang membuang sebahagian kira-kira 10,000 pekerjanya dalam masa terdekat berikutan kesan pandemik Covid-19 kepada industri penerbangan ketika ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ketika ini pihaknya terutama di bahagian pengurusan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kebajikan pekerja di seluruh negara terus terbela.
“Apabila berdepan cabaran sekarang ini, ada syarikat besar yang mengambil jalan mudah dengan menutup operasi atau membuang pekerja.
“Kalau nak sampai peringkat itu pun, biarlah hanya pada ketika kita sudah sangat tidak boleh ‘bernafas’. Setakat ini Alhamdulillah, kita masih cuba pertahankan supaya keadaan semua pihak dapat dijaga dengan elok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan penyampaian sumbangan keperluan asas kepada petugas MAHB dan komuniti setempat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini hari ini.
Tahun lalu, MAHB mencatat kerugian bersih sebanyak RM1.11 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2020 berbanding keuntungan bersih RM537.04 juta pada tahun sebelumnya.
Sementara itu pada sidang akhbarnya pula, Zambry memaklumkan, terdapat sebahagian daripada peruncit kecil dan sederhana di lapangan terbang di seluruh negara yang terpaksa gulung tikar akibat daripada situasi semasa.
“Apabila tiada aktiviti penerbangan dari dalam dan luar negara, sudah tentu situasi menjadi amat mencabar buat peniaga-peniaga di lapangan terbang ini.
“Bagaimanapun kita akan mengambil langkah terbaik bagi memastikan semua ekosistem berkaitan bidang perniagaan di lapangan terbang ini terjaga selain turut menjalin kerjasama rapat dengan para peniaga,” katanya.