MAG sasar kurangkan 25 juta pelepasan karbon dioksida tahun ini - Utusan Malaysia

MAG sasar kurangkan 25 juta pelepasan karbon dioksida tahun ini

KHAIRY Jamaluddin bersama UN Resident Coordinator In Malaysia, Stefan Priesner (kiri) dan Pengerusi Malaysia Airlines Bhd (MAB), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (tengah) melawat ruang pesawat Malaysia Airlines pada program Malaysia Aviation Group (MAG) Sustainability Blueprint di MAB Engineering Complex KLIA. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) Bhd., menyasarkan untuk mengurangkan sehingga 25 juta tan pelepasan karbon dioksida pada tahun ini menerusi pengoperasian penerbangannya.

Ketua Pegawai Transformasi Kumpulan Malaysia Airlines Bhd., Mohd. Azharuddin Mat Sah, berkata, pengurangan pelepasan karbon itu mampu mengurangkan kos penggunaan bahan api antara satu hingga dua peratus setiap tahun.

“Kami sememangnya berhasrat mencapai sasaran tersebut tahun ini yang antara lain pesawat dapat diterbangkan dengan lebih efisien dan cekap dengan mengguna pakai teknologi baharu.

“Di samping itu, kami turut menyasarkan untuk mencapai aspirasi yang serupa dengan pakatan OneWorld iaitu mempunyai pelepasan karbon dioksida sifar menjelang 2050,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Rangka Tindakan Kemapanan MAG di KLIA, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail.

Sementara itu, Izham dalam ucapan berkata, rangka tindakan yang direka bentuk tersebut merangkumi semua aspek iaitu melibatkan faktor persekitaran, sosial, keselamatan, tadbir urus dan ekonomi.

“Kesemua aspek tersebut bersesuaian dengan Agenda Pembangunan Kemampanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan mempertimbangkan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Sehubungan itu, sebagai tindak balas kepada pertumbuhan global pada masa akan datang, kami sememangnya komited untuk menyediakan penyelesaian perjalanan penerbangan yang selamat dan berkesan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kumpulan turut menyasarkan menangani empat matlamat utama dalam SDG iaitu kesaksamaan jantina menerusi Matlamat 5; pertumbuhan ekonomi (Matlamat 8); pengeluaran dan penggunaan yang bertanggungjawab (Matlamat 12) dan perubahan iklim (Matlamat 13).

“Sebagai permulaan, matlamat berkenaan adalah sebagai sasaran untuk kami mencapai keberhasilan terbaik dengan menggunakan sumber yang ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya