Maahad tahfiz antara 9 lokaliti dikenakan PKPD - Utusan Malaysia

Maahad tahfiz antara 9 lokaliti dikenakan PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sembilan lokaliti berbeza di tiga negeri bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai esok sehingga 12 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya ialah sebuah institusi pengajian al-Quran, Maahad Tahfiz Al Azhari di Jajahan Machang, Kelantan berikutan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Sehingga kini jelas beliau, sebanyak 87 kes positif direkodkan daripada keseluruhan 207 ujian saringan yang sudah pun dilakukan ke atas pelajar dan para petugas di maahad berkenaan.

Menurutnya, turut dikenakan PKPD ialah Kampung Bangkahulu di Gemas, Negeri Sembilan, selepas 38 kes dicatatkan daripada sejumlah 170 ujian saringan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu lalu manakala kadar positif kes adalah tinggi iaitu 22.9 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu kata beliau, dua penempatan sekitar Sungai Chalit dan lima penempatan sekitar Sungai Klau, Daerah Raub, Pahang juga dilaksanakan PKPD meliputi Kampung Baru Sungai Chalit, Projek Transformasi Rural Sungai Chalit, Taman Sungai Klau, Taman Maju, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau.

“Setakat ini Kementerian Kesihatan merekodkan empat kes di Sungai Chalit dan satu kes di Sungai Klau manakala tujuh sampel ujian masih menunggu keputusan makmal,” kata beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 295 individu diberkas semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan 288 dikompaun manakala tujuh direman dengan kesalahan tertinggi ialah masih lagi gagal mendaftar masuk premis.

Kesalahan itu katanya, merekodkan 175 kes diikuti tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (empat), tiada jarak fizikal (empat), rentas kawasan (dua) dan lain-lain (39).

“Seramai tiga orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan melalui Operasi Benteng semalam dengan sebanyak 159 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 817 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

Selain itu katanya, dua orang pekerja warga asing didapati positif Covid-19 melalui sejumlah 668 menjalani ujian saringan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya