BAGAN DATUK: Keadaan kesihatannya yang terus merosot menyebabkan penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau sukar menjalani ibadah puasa dengan sempurna pada Ramadan kali ini.
Daud Kilau, 83, yang mengalami komplikasi membuang air kecil sejak dua tahun lalu dan kini semakin serius sehingga menyebabkan sukar untuk dia bersolat tarawih di masjid.
Menurut penyanyi lagu Cek Mek Molek itu, disebabkan kesihatannya yang semakin merosot, beliau kini terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
“Komplikasi membuang air kecil menyebabkan saya susah nak berpuasa macam biasa, malah saya tak dapat lagi nak ke masjid untuk solat tarawih seperti biasa tahun ini.
“Moga Allah ampunkan dosa saya yang tidak dapat hendak berpuasa dengan sempurna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, akibat komplikasi membuang air kecil yang dialaminya, kini anggota badannya semakin terasa lemah dan tidak mampu untuk duduk lama.
Katanya, disebabkan keadaan badannya yang semakin lemah, dia menggunakan tongkat untuk berjalan.
“Sejak kebelakangan ini saya kerap kali membuang air kecil tak kira waktu dan tempat tanpa saya sedari,” katanya.
Daud Kilau kini dijaga oleh isterinya, Datin Rohani Awang Ngah yang dibantu anak lelaki penyanyi veteran itu Ahmad Zaini, 45, di kampungnya di Kampung Sungai Balai di sini.
Daud Kilau yang sudah meninggalkan persembahan pentas berkata, walau bagaimana sekali pun masalah kesihatan yang dialaminya, dia tidak pernah putus harapan agar sakitnya sembuh.
“Alhamdulillah, saya dijaga isteri dan anak. Saya berharap agar sembuh dari masalah kesihatan yang saya alami sekarang. Ajal maut di tangan Tuhan, saya sudah berusaha mudah-mudahan Allah sembuhkan penyakit seperti sedia kala”, katanya.
Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, selain sering membuang air kecil, ayahnya juga menghidap masalah buah pinggang, jantung dan lemah anggota badan.
“Ayah nampak saja macam sihat dan ceria apabila melayan tetamu yang datang, tapi dia sebenarnya mahu menjaga hati peminat, tidak mahu menghampakan mereka yang datang.
“Ayah memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi, saya akan menjaga ayah dan memastikan keadaannya terurus”, katanya.- UTUSAN ONLINE