Lobak merah bernilai RM75,800 dari China dirampas - Utusan Malaysia

Lobak merah bernilai RM75,800 dari China dirampas

ANGGOTA penguat kuasa Maqis menunjukkan sebahagian lobak merah yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa masuk lobak merah bernilai RM75,800 di Pelabuhan Tanjung Pelepas, semalam.

Pengarahnya, Hizzuan Hasim berkata, lobak berkenaan ditahan semasa pegawainya sedang memeriksa sebuah kontena pada pukul 9.30 pagi.

Katanya, lobak merah seberat 27,000 kilogram itu dibawa masuk dari China dan semasa pemeriksaan dijalankan, didapati maklumat pada label tidak sama seperti yang diikrarkan dalam sijil perakuan dikemukakan.

“Oleh itu, kesemua lobak merah segar tersebut dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hizzuan, kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak lebih RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengimport dan pengeksport agar mengikut peraturan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan Malaysia terpelihara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya