Lima nelayan asing ceroboh perairan negara ditahan - Utusan Malaysia

Lima nelayan asing ceroboh perairan negara ditahan

NELAYAN asing yang ditahan kerana menangkap ikan dalam perairan negara di Pulau Buloh dekat Lumut semalam. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Maritim Malaysia Perak menahan sebuah bot nelayan tradisional disyaki dari Indonesia pada  kedudukan lebih kurang 13 batu nautika barat  daya Pulau Buloh dekat sini tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dilakukan oleh bot ronda pasukan itu selepas mendapati ia dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Pintas kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan lima kru warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berumur lingkungan  19 hingga 35 tahun bersama hasil laut dianggarkan kira-kira 50 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrizan, Ketika ditahan,  bot tanpa nombor pendaftaran itu sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Buloh dan disyaki telah melakukan kesalahan  di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tiada kebenaran bertulis daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kru dan tekong, serta hasil tangkapan mereka dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan, dan tiba sekitar pukul 7 malam tadi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Perak bagi tindakan lanjut.

“Penahanan ini membuktikan komitmen dan kepekaan Maritim Malaysia terhadap setiap maklumat serta aduan daripada komuniti nelayan berkaitan salah laku serta pencerobohan perairan,” katanya.

Katanya, orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Perak 05 – 683 8737. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya